Pengikut

Jumaat, 15 Januari 2010

Suntikan Nafas Baru

YB Datuk Seri Dr Rais Yatim...Betul ke akan dipraktikkan seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 14 Januari 2010? Cakap tak serupa bikin kut. Saya telah menghantar e-mel kepada YB di akhir tahun 2009, sehingga kini masih menunggu...dan menunggu...seperti buah jering tak jatuh...he...he...he!

Saya telah banyak menghantar e-mel kepada agensi-agensi Kerajaan tetapi boleh dikatakan 90% TIDAK BERJAWAB...dalam bahasa kasar...Bolayan! Cuba Pak Menteri dan Penjawat Awam fikirkan secara rasional...satu-satu hari nanti anda juga tiada lagi 'relevan'. Bukan semua anda akan 'bernasib baik' dimana tetap dihormati dan disanjungi. Bayangkan ketika itu anda hanya insan kerdil seperti saya. Sebarang komunikasi dengan pihak berwajib tidak dilayan...! Bagaimana agaknya perasaan anda ketika itu?

Ha...ini satu LAGI contoh untuk membuktikan kebenaran apa yang diperkatakan oleh Kabinet. Saya telah menulis surat kepada YBhg Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan isu 'Elaun untuk Penerima Anugerah JPP, PTU & KPK'. Surat berikut telah difaks pada 2 Jan '10 dan pos pada 3 Jan '10. Sehingga kini...masih menunggu!

04 Januari 2010

YBhg Datin Seri Rosmah Mansor
Penaung
Tabung Rayuan Hari Pahlawan
Pejabat Perdana Menteri
Bangunan Perdana Putra
052500 PUTRAJAYA
Wilayah Persekutuan
Faks: 03-88883963

Assalamualaikum,

ELAUN UNTUK PENERIMA ANUGERAH KEBERANIAN JPP, PTU & KPK

Rujuk:

A. Surat ‘Elaun Untuk Penerima-Penerima JPP, PTU Dan KPK’ bertarikh 8 November 2009.

Berhubung perkara di atas, saya memohon jasa baik Datin Seri agar dapat membawa perkara ini ke pihak atasan untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan. Saya telah menulis kepada YAB Perdana Menteri pada 8 November 2009, rujuk A. Namun, sehingga kini tiada sebarang respons.

Datin Seri pasti sudah maklum bahawa negara tercinta ini telah mewujudkan 5 Pingat Keberanian, iaitu SP, PGB, JPP, PTU dan KPK. Pada 31 Julai 2009, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan kenaikan kadar elaun untuk SP – RM2000 dan PGB – RM1500. Penerima-penerima JPP, PTU dan KPK tidak langsung dipertimbangkan dari mulanya pemberian elaun tersebut. Persoalannya...Mengapa kami didiskriminasikan?

Saya telah merayu kepada KEMENTAH agar kami juga diberi elaun tersebut. KSU bersetuju dengan cadangan tersebut dan telah memajukannya kepada JPM. Malang sekali, respons dari JPM, melalui KSU KEMENTAH, menggambarkan ketiga-tiga anugerah tersebut, quote’...Ini adalah kerana nilai pengiktirafan yang diberikan oleh Kerajaan terhadap penerima Darjah Kebesaran atau Bintang/Pingat Persekutuan mempunyai nilai prestij dan martabatnya yang  tersendiri’...unquote (Kembaran A). Pemahaman saya, seorang penerima PTU, anugerah kami TIDAK BERPRRESTIJ!!

Perkara ini telah dipanjangkan ke Parlimen semasa persidangannya pada 11 November 2009. Jawapan Menteri Pertahanan ialah, quote’...kedudukan kewangan negara belum mengizinkan elaun-elaun berkenaan diberikan...’unquote (Hansard Dewan Rakyat pada 11 November 2009).

Kedua-dua jawapan sungguh bercanggah. Sebagai seorang rakyat yang kerdil ini, jawapan mana yang benar...Seorang KSU dari Kementerian berkaitan atau Menteri Kementerian tersebut? Secara jujur, saya sungguh kecewa dengan percanggahan respons ini!!

Pada tanggapan saya, Kerajaan Malaysia lebih mengiktiraf rakyat yang ‘mengharumkan’ nama negara, seperti memenangi pingat Olympic. Pemenang pingat Perak menerima ‘pencen’ RM3000 sebulan selain dari ganjaran dan gelaran Dato’ (Kembaran B). Pemain bola sepak menerima RM30,000 setiap seorang kerana membawa balik pingat Emas Sukan SEA di Laos. Kami yang berkorban demi untuk mempertahankan kedaulatan negara (selain SP dan PGB) agar membolehkan mereka bertanding ....DIPINGGIRKAN! Apakah pengiktirafan negara...NYAWA ATAU NAMA?

Saya juga ada menulis dalam blog saya, xnuripilot.blogspot.com, berkaitan dengan seruan Datin Seri agar wira-wira negara merakamkan pengalaman mereka supaya generasi baru dapat menghayati pengorbanan mereka. Masalahnya, pihak berwajib tidak ‘berminat’ dengan cerita ‘hero-hero tua’ ini. Saya telah mencadangkan kepada pihak PLKN dan BTN supaya menjemput penerima-penerima Pingat Keberanian negara dan mereka yang cacat anggota menceritakan pengalaman mereka kepada pelatih-pelatih kursus tersebut. Mereka yang cacat anggota samaada ditembak oleh pengganas komunis atau terpijak jerangkap samar; mereka yang hilang pancaindera untuk menikmati keindahan alam. Bayangkan impak kepada pelatih-pelatih apabila wira-wira ini datang berkerusi roda atau mengguna ‘tongkat putih’ menceritakan bagaimana mereka menjadi cacat. Saya pasti objektif kursus tersebut akan tercapai, InsyaAllah (Kembaran C).

Sepertimana yang sudah dijangkakan dari pihak berwajib...TIADA SEBARANG RESPONS DARI AGENSI-AGENSI BERKENAAN!!

Akhir kata, saya merayu kepada Datin Seri sebagai seorang yang prihatin terhadap kebajikan bekas warga tentera, mengesyorkan kepada pihak berwajib agar permohonan ini diluluskan. Keprihatinan Datin Seri sangat dihargai.

MEJAR NOR IBRAHIM BIN SULAIMAN TUDM (B)

Kembaran:

A. GALLANTRY AWARDS OF MALAYSIA
B. PENGIKTIRAFAN NEGARA.....NYAWA ATAU NAMA?
C. Sepi Seribu Bahasa...!

Saya akan 'terkejut beruk' (ungkapan orang Kedah) sekiranya mendapat sebarang respons dari pihak YBhg Datin Seri walaupun hanya sekadar '....dalam pertimbangan kami' (respons standard).  Sebenarnya, saya tidak menyalahkan beliau sekiranya tidak melihat/membaca surat ini kerana ianya tidak akan melepasi 'gate-keepers' di 'rumah tol'!  Tak apalah...sekurang-kurang saya telah mencuba. ...TAK CUBA TAK TAHU.

Bertarung hebat di gelanggang sukan
Pahlawan di hutan di tembak mati
Mengharum negara menikmati ganjaran
Berkorban nyawa...menagih simpati!! 

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kerajaan tak pandang rintihan tentera ni.

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) berkata...

Saudara Anonymous,

Betul kata-kata anda itu. Takpa lah, sekurang-kurangnya saya cuba menghidupkan isu ini. Manalah tahu, mungkin satu hari nanti Kerajaan terbuka hati untuk meluluskannya demi untuk bakal penerima.